Sunday, January 17, 2010

AJL Finale Meletop!!!


Kemenangan Aizat menerusi lagu Pergi ciptaan Pete Teo dan Amran Omar, yang ditujukan khas kepada Allahyarham Yasmin Ahmad, diumumkan tiga pengacara iaitu Faizal Ismail, Ally Iskandar dan Cheryl Samad.

Aizat, 20, turut mengungguli kategori persembahan terbaik menerusi satu lagi lagu ciptaannya iaitu Kau dan Aku.

AJL24 kali ini memperkenalkan format terbuka tanpa sebarang kategori.

Selaku juara, Aizat memenangi hadiah wang tunai RM35,000 dan RM10,000 lagi untuk persembahan terbaik.

Tempat kedua dimenang Yuna yang menyampaikan lagu Dan Sebenarnya, sekali gus membawa pulang wang tunai RM15,000 manakala tempat ketiga dimenangi Faizal Tahir dengan hadiah wang tunai RM12,000 menerusi lagu Bencinta.

Untuk vokal terbaik yang menawar hadiah RM10,000 dimenangi Black yang tampil dengan lagu Aku Rindu Sayang Kamu.

Sebanyak 14 lagu dipertandingkan dan kemenangan Aizat sekali gus menewaskan lagu lain yang bertanding termasuk Aku Skandal (Hujan), Tak Mungkin Kerana Sayang (Alyah), Bengang (Akim), Pakai Buang (Stacy), Masih Jelas (Hafiz), Rindu Terhenti (Tomok), Situasi (Bunkface), Aurora (Estranged), Cinta Adam dan Hawa (Misha Omar).

Semua persembahan peserta dinilai lapan juri profesional iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, Dr Said Ahmad Faizal (Pacai), Dr Wan Zawawi, Fatimah Abu Bakar, Zainal Abidin, Hazami dan Fauzi Marzuki sebagai ketua juri.

Mengulas kejayaannya, Aizat berkata, kemenangan ini memberi makna mendalam dan menjadi hadiah hari jadi pada 21 Januari ini.

"Syukur kepada Allah dan semua peminat yang menyokong industri muzik Malaysia," katanya.

No comments:

Post a Comment